Program Explorace Agrotourism @ Labuh Banting, SPU, PERDA 2025

User Rating: 5 / 5

Star ActiveStar ActiveStar ActiveStar ActiveStar Active
 
23 Februari 2025   |   Labuh Banting

Seramai 31 orang delegasi belia dan 6 orang urus setia telah menyertai Program Explorace Agrotourism yang berlangsung di Kampung Labuh Banting, Seberang Perai Utara (SPU) hari ini.

Program ini dirasmikan oleh YBrs. Tuan Mohd Hilmi bin Elias, Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA), dengan objektif utama memperkenalkan projek agro-pelancongan PERDA kepada golongan belia serta memupuk semangat kesukanan dan kerjasama dalam komuniti.

Program yang penuh dengan aktiviti menarik ini turut memberi peluang kepada para peserta untuk mengenali lebih dekat kepimpinan PERDA dan memahami inisiatif yang sedang dijalankan dalam sektor agro-pelancongan.

Antara aktiviti utama yang dijalankan termasuklah menyusuri keindahan Sungai Kulim dan Sungai Perai dengan menaiki bot catamaran, memberikan pengalaman unik kepada peserta dalam menikmati keindahan alam semula jadi serta memahami ekosistem setempat.

Selain itu, mereka turut menyertai ‘Kampung Trail’, di mana mereka berpeluang mempelajari teknik pembuatan makanan tradisional seperti tapai, madu kelulut, dan dodol.

Kuiz interaktif berkaitan kawasan agro-pelancongan juga diadakan bagi menguji pengetahuan peserta tentang potensi industri ini.

Program ini dikendalikan dengan jayanya oleh Koperasi Nelayan & Komuniti Labuh Banting Pulau Pinang Berhad dengan sokongan penuh daripada PERDA.

Kejayaan penganjuran program ini menunjukkan komitmen PERDA dalam merealisasikan harapan rakyat dengan memperkasakan belia dalam sektor pertanian dan pelancongan, seiring dengan usaha membangunkan komuniti luar bandar secara holistik.

Dengan penganjuran program seperti ini, diharapkan lebih ramai belia akan terlibat dalam sektor agro-pelancongan, seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan pemerkasaan komuniti setempat.

FOTO : Aswadi AB

GALERI GAMBAR

AKTIVITI 2025

Penafian : PERDA tidak akan bertanggungjawab atas sebarang kehilangan data atau kerugian yang berlaku disebabkan penggunaan laman web ini.

Hak Cipta Terpelihara © PERDA 2025 / Paparan terbaik menggunakan pelayar internet Mozilla Firefox, Chrome dan Internet Explorer 11 ke atas.