7 November 2025 | Kolej KEDA, Kedah
Jabatan Seni Reka Fesyen Institut Kemahiran Tinggi PERDA (PERDA-TECH) telah mewakili institut dalam Pertandingan Nur Moda Runway Fashion Show sempena Karnival TVET Madani@Kolej KEDA 2025 yang berlangsung pada 5 November 2025. Penyertaan ini menampilkan keunikan busana songket kontemporari yang diolah dengan konsep evening dress/red carpet dress, menggabungkan kehalusan seni warisan Melayu dengan sentuhan rekaan moden dan eksklusif.
Sebanyak tiga penyertaan utama telah dipersembahkan oleh pasukan PERDA-TECH, melibatkan tiga orang pensyarah dan tiga orang pelajar dari Jabatan Seni Reka Fesyen. Pereka-pereka pertandingan ini telah menghasilkan 30 rekaan busana untuk dinilai, sekaligus memperlihatkan kepelbagaian kreativiti, ketelitian teknik jahitan, keanggunan potongan, serta kematangan idea dalam menterjemahkan rekaan ke dalam fesyen kontemporari yang bersesuaian untuk pentas peragaan profesional.
Hasil dedikasi, ketekunan dan kreativiti tinggi warga jabatan, PERDA-TECH telah berjaya mengharumkan nama institut apabila pada 7 November 2025, Jabatan Seni Reka Fesyen dinobatkan sebagai Johan Pertandingan Nur Moda Runway. Kemenangan ini membuktikan kemampuan pelajar dan tenaga pengajar PERDA-TECH dalam bersaing di peringkat luar, sekaligus menunjukkan bahawa pendidikan TVET bukan sahaja fokus kepada kemahiran praktikal, tetapi juga mampu melahirkan karya bermutu tinggi dengan nilai estetika dan profesionalisme.
Penghargaan dan ucapan tahniah ditujukan kepada Ketua Jabatan, Puan Noriza Bt Masngut, yang memainkan peranan penting dalam bimbingan, perancangan dan penyelaras pasukan. Tidak ketinggalan juga, syabas kepada pelajar Muhd Faiz Syahmi B. Fadzil atas hasil kerja, penelitian dan persembahan busana yang menyumbang kepada kejayaan PERDA-TECH dalam pertandingan ini.
Tahniah diucapkan kepada semua pensyarah, pelajar serta barisan sokongan yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam usaha membawa pulang kemenangan ini. Semoga pencapaian tersebut menjadi penyuntik semangat kepada warga PERDA-TECH untuk terus maju ke hadapan dalam dunia rekaan fesyen dan industri kreatif.
Terus terbang tinggi Institut Kemahiran Tinggi PERDA (PERDA-TECH)!!!
Kreativiti Pelajar Seni Reka Fesyen PERDA-TECH Ungguli Pertandingan Nur Moda Runway Fashion Show
- Hits: 103
GALERI GAMBAR

Soalan Lazim
Aduan & Maklumbalas







