Majlis Perasmian Permukiman KKDW 2025

User Rating: 5 / 5

Star ActiveStar ActiveStar ActiveStar ActiveStar Active
 
18 Januari 2025   |   Hotel Bahang Bay, Pulau Pinang
 
Majlis Perasmian Permukiman KKDW 2025 telah disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi, pada malam ini.

Dalam ucapannya, warga KKDW diingatkan tentang misi besar sebagai pejuang desa untuk terus memacu langkah strategik dengan mengamalkan pendekatan 'cross-functional', iaitu memanfaatkan kekuatan setiap bahagian di bawah satu payung besar yang merangkumi pendidikan, ekonomi, keusahawanan dan reformasi birokrasi.

Tahun ini juga beliau mahu memperkasakan agensi bawah KKDW seperti Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPPKOA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) sebagai agen Kerajaan di peringkat akar umbi.

Majlis ini turut menyaksikan pemeteraian Perjanjian Pembangunan Bersama antara Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) melalui anak syarikatnya, PERDA Ventures Incorporated Sdn. Bhd. (PVISB) dengan Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAINPP) melalui Wakaf Pulau Pinang Sdn. Bhd. (Wakaf MAINPP).

Perjanjian yang disaksikan oleh YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi ini merupakan satu lagi inisiatif penting ke arah memperkasa pembangunan dan ekonomi umat Islam di Pulau Pinang.

Melalui kerjasama ini, PVISB akan membangunkan tanah wakaf milik MAINPP seluas 2.85 ekar di Bayan Lepas. Projek ini merangkumi pembinaan dua blok rumah mampu milik setinggi 21 tingkat dengan 510 unit berkeluasan 900 kaki persegi setiap satu, serta 12 unit kedai komersial tiga tingkat yang berkeluasan 3,120 kaki persegi.

Turut hadir dalam majlis ini ialah Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dan Pengerusi Lembaga Pengarah Wakaf, YB Dato’ Dr. Mohamad bin Abdul Hamid, Ketua Setiausaha KKDW, YBhg. Datuk Muhd Khair Razman bin Mohamed Annuar, dan Pengerusi PERDA, YBhg. Datuk Wira Ir. Dr. Shaik Hussein bin Mydin.
  
GALERI GAMBAR

AKTIVITI 2025

Penafian : PERDA tidak akan bertanggungjawab atas sebarang kehilangan data atau kerugian yang berlaku disebabkan penggunaan laman web ini.

Hak Cipta Terpelihara © PERDA 2025 / Paparan terbaik menggunakan pelayar internet Mozilla Firefox, Chrome dan Internet Explorer 11 ke atas.