25 Februari 2025 | Pulau Pinang
Memperkukuh Hubungan Strategik dan Perancangan Masa Depan
Satu kunjungan hormat telah diadakan ke Jabatan Pesuruhjaya Bangunan (COB) yang dihadiri oleh Pengurus Hartanah Teknikal PERDA, Encik Mohd. Afhainizam bin Mahamad Yusop, Pegawai Undang-Undang PERDA, Puan Yohana binti Puteh serta pegawai-pegawai daripada Bahagian Hartanah Teknikal PERDA. Turut hadir dalam pertemuan ini adalah Puan Hayatul Syamila Bt Mohd Saleh, Penolong Pegawai Penilaian (1), dan Encik Ng Ah Hong, Pembantu Penilai dari Jabatan Pesuruhjaya Bangunan Majlis Bandaraya Pulau Pinang.
Objektif utama kunjungan ini adalah untuk membina hubungan strategik yang lebih kukuh dengan pihak COB bagi memperoleh maklumat terkini serta rujukan yang relevan berkaitan proses penubuhan Badan Pengurusan Rumah Pangsa Kos Rendah Bandar Baru Teluk Kumbar. Melalui perbincangan yang diadakan, delegasi PERDA berpeluang mendapatkan pandangan dan input penting mengenai aspek perundangan serta garis panduan yang perlu dipatuhi dalam proses penubuhan badan pengurusan ini.
Selain itu, kunjungan ini turut bertujuan untuk mengemukakan cadangan bernas bagi penganjuran kursus-kursus berkaitan dengan pengurusan bangunan bertingkat dan Badan Pengurusan. Kursus-kursus ini dijangka dapat membantu meningkatkan pengetahuan dan kemahiran ahli, memastikan kelancaran operasi badan pengurusan serta memperkasakan mereka dalam melaksanakan tanggungjawab dengan lebih cekap dan efektif.
Melalui inisiatif ini, PERDA komited dalam memastikan kesejahteraan penghuni Rumah Pangsa Kos Rendah Bandar Baru Teluk Kumbar serta membangunkan sistem pengurusan hartanah yang lebih teratur dan mampan. Perbincangan lanjut akan diteruskan bagi memperhalusi cadangan yang dikemukakan, seterusnya merealisasikan objektif yang telah dirancang.
GALERI GAMBAR