30 Oktober 2026 | Tasek Gelugor
Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) hari ini telah menerima kunjungan delegasi rasmi daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Malaysia bertempat di PERDA Halal Park bagi meneroka ruang jalinan kerjasama strategik dalam program pemerkasaan ekonomi usahawan.
Delegasi JKM yang melibatkan seramai 15 orang pegawai kanan ini telah diketuai oleh Timbalan Ketua Pengarah Operasi JKM Putrajaya, Puan Rosmahwati binti Ishak.
Sesi lawatan kerja ini turut disertai oleh barisan kepimpinan pelbagai bahagian JKM peringkat Putrajaya dan negeri, merangkumi Ketua Cawangan Pembangunan Klien Produktif dari Bahagian Kebajikan Produktif, Ketua Cawangan Hubungan Multisektorial dari Bahagian Komuniti, Ketua Cawangan Pembangunan Kemahiran dari Bahagian Perancangan dan Pembangunan, serta wakil-wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri dari Pulau Pinang, Kedah, Perlis, dan Perak.
Menerusi sesi perbincangan dua hala tersebut, taklimat komprehensif telah disampaikan oleh Pengurus Bahagian Pembangunan Ekonomi PERDA, Encik Hazahari bin Md Haris.
Sesi pembentangan berkenaan memberi fokus menyeluruh terhadap ekosistem sokongan perniagaan, inisiatif pembangunan usahawan, serta penyediaan infrastruktur oleh PERDA dalam usaha melahirkan usahawan tempatan yang mampan dan berdaya saing.
Bagi memberikan gambaran operasi secara praktikal, delegasi JKM turut dibawa mengadakan lawatan turun padang ke dua buah premis usahawan bimbingan PERDA iaitu BOT Industries Sdn. Bhd. dan AC Synergy.
Lawatan penandaarasan ini membolehkan para delegasi meneliti secara dekat kualiti produk, proses operasi pengeluaran, serta potensi replikasi modul bimbingan ekonomi PERDA untuk diaplikasikan kepada klien produktif di bawah seliaan JKM.
Sinergi dan jalinan kerjasama strategik antara PERDA dan JKM ini diharapkan dapat membuka lebih banyak ruang serta peluang dalam memperkukuh ekosistem bimbingan yang berterusan, sekali gus memacu agenda pemerkasaan sosioekonomi masyarakat secara inklusif dan progresif.
PERDA – Merealisasikan Harapan Rakyat.
GALERI GAMBAR


Soalan Lazim
Aduan & Maklumbalas




