27 September 2026 | Kuala Lumpur
Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) menerusi Bahagian Ekonominya telah menganjurkan Bengkel 1 Homestay 1 Produk Kraftangan dalam usaha merancakkan kembali industri pelancongan desa dan memacu pertumbuhan ekonomi kreatif luar bandar.
Bengkel intensif selama dua hari yang berlangsung dari 26 hingga 27 September 2026 di ibu negara ini telah disertai oleh 20 orang pengusaha homestay. Kesemua peserta merupakan operator berlesen di bawah bimbingan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta seliaan portfolio pembangunan PERDA.
Program strategik ini dirangka khusus untuk mengemas kini sistem pengurusan pakej pelancongan desa. Selain itu, ia bertujuan mentransformasikan minda para pengusaha agar beralih daripada sekadar menyediakan perkhidmatan penginapan asas, kepada pencipta pengalaman budaya yang tulen (authentic cultural experience) bagi menarik minat pelancong domestik dan antarabangsa.
Pengurus Bahagian Ekonomi PERDA, Mohd Hazahari Md Haris menegaskan bahawa sektor kraftangan kini telah memasuki era baharu yang dinamik, beralih daripada sekadar warisan tradisi kepada pemacu ekonomi yang berpotensi besar dalam rantaian nilai pelancongan pasca-pandemik.
"Pelancongan desa hari ini menuntut keunikan. Melalui formula '1 Homestay 1 Produk Kraftangan', kita bukan sahaja memberikan Nilai Jualan Unik (USP) yang membezakan homestay kita dengan penginapan komersial, malah mewujudkan ekosistem ekonomi kitaran (circular economy).
Aktiviti seperti mencanting batik atau menganyam mengkuang mampu menjana pendapatan alternatif yang mampan buat komuniti setempat," katanya ketika menyempurnakan majlis penutupan rasmi bengkel tersebut.
Sepanjang program berlangsung, para peserta telah didedahkan dengan pelbagai modul perniagaan kritikal. Ini termasuklah latihan pengiraan kos pengeluaran yang tepat, penentuan margin keuntungan, pembinaan peta potensi produk, serta teknik pemasaran pakej pelancongan kreatif yang bersesuaian dengan trend pasaran terkini.
Bagi memberikan pendedahan secara praktikal, para peserta turut dibawa melawat ke Pameran Antarabangsa Kraftangan Malaysia yang sedang berlangsung di Kompleks Kraftangan Malaysia, Kuala Lumpur. Lawatan lapangan tersebut membuka ruang kepada peserta untuk melihat demonstrasi pembuatan kraf secara langsung serta berinteraksi dan bersoal jawab dengan pempamer industri terkemuka.
Sebelum bengkel melabuhkan tirainya, satu sesi pembentangan khas telah diadakan bagi membolehkan setiap kluster homestay membentangkan cadangan kertas kerja pelan pengembangan kraftangan yang bakal dilaksanakan di kampung masing-masing. Program diakhiri dengan penyampaian sijil penyertaan oleh Mohd Hazahari kepada semua wakil peserta yang hadir.
GALERI GAMBAR


Soalan Lazim
Aduan & Maklumbalas












