20 Ogos 2026 | GEORGE TOWN
Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) terus memperkukuh hubungan strategik bersama Kerajaan Negeri Pulau Pinang menerusi kunjungan hormat Pengurus Besar PERDA, YBhg. Dato’ Haji Mohd Asri bin Baharum ke Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang (PSUKPP), Tingkat 25, KOMTAR, hari ini.
Kunjungan tersebut menjadi platform penting bagi PERDA dan PSUKPP untuk bertukar pandangan serta membincangkan ruang kerjasama strategik dalam menyokong agenda pembangunan negeri, khususnya melibatkan pembangunan luar bandar, pengukuhan ekonomi setempat, pemerkasaan komuniti dan peningkatan kesejahteraan rakyat.
Pertemuan turut memberi tumpuan kepada keperluan memperkukuh penyelarasan antara PERDA dan Kerajaan Negeri bagi memastikan agenda pembangunan dapat dilaksanakan secara lebih bersepadu, tersusun dan berimpak, khususnya dalam memastikan kawasan luar bandar tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negeri.
Sebagai agensi yang dipertanggungjawabkan dalam memacu pembangunan wilayah Pulau Pinang, PERDA kekal komited untuk mempergiat usaha pembangunan luar bandar melalui pendekatan yang lebih inklusif dan berteraskan keperluan rakyat. Usaha tersebut merangkumi pemerkasaan ekonomi masyarakat, pembangunan infrastruktur dan perumahan, pengukuhan sektor keusahawanan, pembangunan modal insan serta pembukaan peluang ekonomi baharu kepada komuniti setempat.
Komitmen ini turut mencerminkan kesungguhan PERDA dalam memastikan manfaat pembangunan dapat dirasai secara lebih menyeluruh, termasuk oleh masyarakat di kawasan luar bandar dan kawasan yang sedang berkembang. PERDA melihat pembangunan luar bandar bukan sekadar aspek fizikal, malah turut melibatkan peningkatan kapasiti masyarakat, pengukuhan ekonomi setempat serta pewujudan persekitaran yang mampu menyokong kualiti hidup dan kesejahteraan rakyat.
Seiring dengan aspirasi pembangunan Pulau Pinang, PERDA akan terus memperkukuh kerjasama dengan Kerajaan Negeri, pihak berkuasa tempatan, agensi kerajaan dan pemegang taruh berkaitan bagi mengenal pasti keperluan serta potensi pembangunan yang boleh diterokai secara bersama.
Kerjasama strategik ini diyakini mampu memperkukuh kesinambungan pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar, sekali gus memastikan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negeri dapat dinikmati secara lebih seimbang oleh seluruh lapisan masyarakat.
PERDA kekal komited untuk menjadi rakan strategik yang proaktif kepada Kerajaan Negeri dalam merealisasikan pembangunan Pulau Pinang yang mampan, inklusif dan berimpak tinggi, selaras dengan aspirasi Penang2030 dan Malaysia MADANI, khususnya dalam memastikan pembangunan luar bandar terus menjadi sebahagian penting daripada agenda kemajuan negeri.
PERDA – Merealisasikan Harapan Rakyat.
GALERI GAMBAR


Soalan Lazim
Aduan & Maklumbalas








