05 Ogos 2026 | Cyberjaya
Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) hari ini memeterai kerjasama strategik menerusi penganjuran Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Warnakala Studios Sdn. Bhd.
Kerjasama pintar ini dilaksanakan bertujuan untuk mempertingkatkan kualiti latihan, kepakaran teknikal, serta kemahiran para pelajar dan tenaga pengajar Institut Kemahiran Tinggi PERDA (PERDA-TECH) agar selari dengan kehendak dan piawaian industri animasi tempatan mahupun antarabangsa.
Dokumen persefahaman berkenaan ditandatangani oleh Pengurus Besar PERDA, YBhg. Dato' Haji Mohd Asri bin Baharum bersama Ketua Pegawai Eksekutif Warnakala Studios Sdn. Bhd., Encik Hairulfaizalizwan bin Ahmad Sofian.
Menerusi MoU ini, pelbagai ruang kerjasama berimpak tinggi bakal dilaksanakan merangkumi penyediaan latihan industri, penempatan Pembelajaran Berasaskan Kerja (WBL), Latihan Sangkut Industri (LSI) bagi tenaga pengajar, penganjuran seminar teknikal, serta pembukaan peluang kerjaya khusus buat graduan PERDA-TECH dalam bidang animasi dan kandungan kreatif.
Sinergi erat bersama pihak industri seperti Warnakala Studios yang merupakan syarikat penerbitan kandungan animasi terkemuka membuktikan komitmen berterusan PERDA dalam melahirkan modal insan berkemahiran tinggi serta usahawan profesional yang berdaya saing.
Diharapkan kolaborasi ini menjadi pemangkin kepada pembangunan bakat muda luar bandar untuk terus mencipta nama di dalam ekosistem industri kreatif digital negara.
GALERI GAMBAR


Soalan Lazim
Aduan & Maklumbalas




















