Sesi Penyerahan Sistem Audit Dashboard KEJORA kepada PERDA dan Lawatan Kerja ke Homestay Srikota Penaga

Star InactiveStar InactiveStar InactiveStar InactiveStar Inactive
 
22 Oktober 2026    |    PENAGA

Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) telah mengadakan Sesi Penyerahan Sistem Audit Dashboard KEJORA kepada PERDA pada sebelah pagi, diikuti dengan lawatan kerja delegasi Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) ke Homestay SriKota Penaga, Pulau Pinang pada sebelah petang.

Sesi penyerahan sistem tersebut telah dipengerusikan oleh Tuan Haji Anuar bin Haji Shahab, Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) PERDA. Turut hadir ialah Puan Hereti binti Desa, Pengurus Teknologi Maklumat PERDA, Puan Norasyikin binti Mat Isa, Ketua Unit Audit Dalam PERDA, serta pegawai daripada Bahagian Teknologi Maklumat (BTM) dan Unit Audit Dalam (UAD) PERDA.

Delegasi KEJORA pula diketuai oleh YBrs. Encik Hanafi bin Jantan, Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) KEJORA, bersama Encik Mohamad Rizal bin Mohd Hidzir, Ketua Unit Audit Dalam KEJORA, serta wakil daripada Unit Audit Dalam dan Bahagian Teknologi Maklumat KEJORA.

Penyerahan Sistem Audit Dashboard ini merupakan satu langkah ke arah memperkukuh fungsi audit dalaman PERDA melalui pendigitalan proses kerja, khususnya dalam meningkatkan kecekapan pemantauan status audit, penyelarasan maklumat serta tindakan susulan terhadap penemuan audit. Penggunaan sistem ini juga berpotensi membantu mempercepatkan akses kepada maklumat, memperkemas pelaporan dan menyokong proses membuat keputusan berasaskan maklumat yang lebih sistematik.

Inisiatif ini turut mencerminkan komitmen PERDA dalam memperkukuh tadbir urus, meningkatkan akauntabiliti serta mengoptimumkan penggunaan sumber melalui perkongsian kepakaran dan teknologi antara agensi kerajaan.

Pada sebelah petang, delegasi PERDA dan KEJORA meneruskan program dengan lawatan kerja ke Homestay SriKota Penaga, Pulau Pinang, yang bertemakan “Alami Alam, Hayati Warisan”. Lawatan yang melibatkan seramai 20 orang peserta ini bertujuan memberi pendedahan kepada delegasi mengenai potensi pelancongan berasaskan komuniti serta usaha memelihara warisan dan budaya tempatan.

Antara aktiviti yang diadakan termasuk sambutan tradisional paluan kompang, jamuan minum petang dengan hidangan tempatan, demonstrasi penyediaan kuih tradisional seperti Halwa Maskat dan Kuih Peneram, serta lawatan ke rumah penginapan homestay bagi melihat kemudahan dan konsep inap desa yang ditawarkan.

Lawatan ini turut memberi peluang kepada delegasi untuk mengenali keunikan warisan kulinari tempatan serta potensi sektor pelancongan desa dalam menyokong pembangunan ekonomi komuniti setempat.

Secara keseluruhannya, kedua-dua aktiviti ini mencerminkan kepentingan perkongsian ilmu, pengalaman dan amalan terbaik antara agensi pembangunan wilayah, di samping menyokong usaha memperkukuh tadbir urus organisasi serta mempromosikan potensi pelancongan dan warisan tempatan.

PERDA komited untuk terus memperkukuh kerjasama strategik antara agensi demi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan dan memacu pembangunan sosioekonomi yang mampan.
GALERI GAMBAR

AKTIVITI 2026

Penafian : PERDA tidak akan bertanggungjawab atas sebarang kehilangan data atau kerugian yang berlaku disebabkan penggunaan laman web ini.

Hak Cipta Terpelihara © PERDA 2026 / Paparan terbaik menggunakan pelayar internet Mozilla Firefox, Chrome dan Internet Explorer 11 ke atas.