Program Teh Tarik Komuniti Vol. 1@PERDA Perkukuh Jaringan Bersama Usahawan Pulau Pinang

Star InactiveStar InactiveStar InactiveStar InactiveStar Inactive
 
04 Ogos 2026    |    Butterworth

Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) telah menganjurkan Program Teh Tarik Club Vol.1 @PERDA sebagai platform penglibatan bersama usahawan Pulau Pinang, khususnya usahawan yang masih belum pernah menerima bimbingan atau bantuan daripada PERDA.

Program julung kali diadakan ini telah berjaya menghimpunkan seramai 120 orang usahawan bertempat di Dewan Mutiara Wawasan, Ibu Pejabat PERDA.
Penganjuran program ini bertujuan memberikan pendedahan kepada para usahawan mengenai pelbagai bentuk bantuan dan inisiatif yang disediakan oleh agensi-agensi kerajaan, di samping menerangkan tatacara serta proses permohonan yang perlu diikuti bagi memudahkan mereka mendapatkan akses kepada kemudahan yang ditawarkan.

Program ini turut melibatkan kerjasama strategik bersama agensi kerajaan iaitu Majlis Amanah Rakyat (MARA), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan syarikat Touch N Go menerusi konsep One Stop Centre yang membolehkan para usahawan mendapatkan khidmat nasihat, maklumat serta konsultasi secara terus daripada wakil agensi berkaitan mengenai pelbagai inisiatif pembangunan keusahawanan.

Program ini turut diserikan dengan kehadiran YBhg. Dato’ Haji Mohd Asri bin Baharum, Pengurus Besar PERDA yang telah menyampaikan amanat serta menitipkan kata-kata semangat kepada para usahawan agar terus berusaha meningkatkan daya saing, merebut peluang yang disediakan dan memanfaatkan sepenuhnya pelbagai inisiatif kerajaan bagi memperkukuh pertumbuhan perniagaan.
PERDA komited untuk terus memperkasakan ekosistem keusahawanan di Pulau Pinang melalui penganjuran program-program berimpak tinggi.

Sehubungan itu, program seperti ini akan diteruskan dalam masa terdekat bagi memberi peluang kepada lebih ramai usahawan untuk memperoleh manfaat daripada program seumpama ini.
GALERI GAMBAR

AKTIVITI 2026

Penafian : PERDA tidak akan bertanggungjawab atas sebarang kehilangan data atau kerugian yang berlaku disebabkan penggunaan laman web ini.

Hak Cipta Terpelihara © PERDA 2026 / Paparan terbaik menggunakan pelayar internet Mozilla Firefox, Chrome dan Internet Explorer 11 ke atas.