PERDA Kongsi Amalan Terbaik Pengurusan Pelancongan Komuniti Bersama Delegasi Kota Samarahan

Star InactiveStar InactiveStar InactiveStar InactiveStar Inactive
 
10 Julai 2026    |     Tasek Gelugor

Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) telah menerima kunjungan delegasi menerusi Program Khas YBTM Kursus Lanjutan Homestay: Delegasi Kota Samarahan, Sarawak yang berlangsung pada 8 hingga 9 Julai 2026. Program berimpak tinggi ini turut dihadiri dan diserikan lagi dengan kehadiran Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, YB Datuk Hajah Rubiah binti Haji Wang serta Pengurus Besar PERDA, YBhg. Dato' Haji Mohd Asri bin Baharum yang bersama-sama menyantuni para peserta sepanjang sesi berlangsung.

Kursus lanjutan ini melibatkan penyertaan seramai 38 orang peserta dari Kota Samarahan, Sarawak serta 23 orang urus setia daripada Institut Kemajuan Desa (INFRA), Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Dua lokasi pelancongan komuniti strategik di bawah seliaan PERDA telah dipilih sebagai destinasi lawatan iaitu Homestay Sungai Setar di Daerah Seberang Perai Selatan pada hari pertama dan disusuli dengan lawatan ke Agropelancongan Kampung Labuh Banting di Daerah Seberang Perai Utara pada hari kedua.

Sepanjang dua hari program, para peserta telah didedahkan dengan pengisian yang komprehensif merangkumi aspek teori dan praktikal menerusi taklimat pengalaman pembangunan homestay serta Taklimat Program Pengalaman Homestay Malaysia (PPHM) di Pulau Pinang.

Selain lawatan ke Pusat Pendidikan Kecil Paya Laut dan Ekopelancongan Kuala Haji Ibrahim, para peserta turut merasai keunikan gaya hidup masyarakat kampung melalui aktiviti interaktif tradisional seperti acara bowling kelapa, pembuatan tapai, perusahaan dodol dapur kayu, anyaman ketupat daun palas, serta aktiviti menyusuri Kampung Trail menggunakan basikal dan traktor tramp sebelum diakhiri dengan taklimat keselamatan boat cruise ke Hutan Pelajaran Air Itam.

Tujuan utama pelaksanaan kursus ini adalah bagi membolehkan para peserta melihat sendiri modul pengurusan pelancongan komuniti yang berjaya dilaksanakan oleh PERDA di Pulau Pinang.

Melalui perkongsian amalan terbaik di kedua-dua destinasi berkenaan, program ini diharap dapat memberi peluang luas kepada peserta untuk menilai keupayaan produk pelancongan di tempat masing-masing, seterusnya membawa pulang idea baharu yang kreatif untuk diaplikasikan demi kemajuan ekonomi komuniti di Kota Samarahan.
GALERI GAMBAR

AKTIVITI 2026

Penafian : PERDA tidak akan bertanggungjawab atas sebarang kehilangan data atau kerugian yang berlaku disebabkan penggunaan laman web ini.

Hak Cipta Terpelihara © PERDA 2026 / Paparan terbaik menggunakan pelayar internet Mozilla Firefox, Chrome dan Internet Explorer 11 ke atas.