15 Oktober 2026 | Nibong Tebal
Pembentangan Pertandingan Anugerah Inovasi Perkhidmatan Awam (Teknikal) Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) 2026 telah berlangsung dengan jayanya bertempat di Institut Kemahiran Tinggi PERDA (PERDA-TECH).
Penganjuran program ini bermatlamat untuk memperkasakan budaya inovasi, kreativiti serta kecemerlangan penyampaian perkhidmatan awam dalam kalangan agensi dan institusi di bawah naungan kementerian.
Bagi memastikan proses penilaian dilaksanakan secara telus dan berprestij, sesi pertandingan ini dihakimi oleh barisan juri pakar yang diketuai oleh Prof. Madya Ts. Dr. Irnis Azura Zakarya daripada Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), bersama Ts. Dr. Suhailah binti Mohamed Noor daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pulau Pinang, dan Puan Marliana binti Lukman daripada Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) Zon Utara.
Sebanyak lima kumpulan inovasi terbaik telah berentap membentangkan hasil projek masing-masing yang merangkumi pasukan PERDA-TECH (PERDA) selaku tuan rumah, RISDA Limbang, Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), dan TVETMARA Pasir Mas, Kelantan.
Penganjuran pertandingan ini bukan sahaja menjadi medan persaingan yang sihat, malah bertindak sebagai platform penting dalam menyemarakkan transformasi perkhidmatan awam yang berteraskan daya cipta dan reka baharu demi kesejahteraan masyarakat secara menyeluruh.
PERDA merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada barisan juri pakar serta ucapan syabas kepada kesemua kumpulan bertanding atas komitmen tinggi dalam membudayakan inovasi.
PERDA – Merealisasikan Harapan Rakyat.
GALERI GAMBAR


Soalan Lazim
Aduan & Maklumbalas




















