29 Ogos 2026 | Teluk Bahang
Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) terus memperkasakan sektor pelancongan berasaskan komuniti menerusi penganjuran Program 'Visit My Kampung' yang bertempat di perkarangan pantai Hotel Bahang Bay, Teluk Bahang, hari ini.
Perasmian program telah disempurnakan oleh Pengurus Besar PERDA, YBhg. Dato' Haji Mohd Asri bin Baharum, serta turut dihadiri oleh Pengerusi JPKKP Parlimen Balik Pulau, YBhg. Datuk Shah Headan bin Ayoob Hussain Shah.
Inisiatif 'Visit My Kampung' yang dimulakan sejak tahun 2022 kini diteruskan di Teluk Bahang sebagai laluan terbaharu daripada 9 kluster homestay aktif yang berdaftar di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) di seluruh Pulau Pinang.
Langkah ini menyokong trend pelancongan domestik masa kini yang menyaksikan peningkatan minat pelancong terhadap aktiviti rekreasi luar bandar, keunikan budaya, serta makanan warisan tempatan.
Penganjuran program ini bukan sahaja menjadi platform mempromosikan pakej inap desa secara berstruktur, malah terbukti mampan apabila berjaya merekodkan kehadiran lebih 55,000 pelancong dengan nilai pulangan hasil RM2.8 juta kepada para pengusaha tempatan sepanjang tahun lalu.
Sinergi erat bersama agensi kerajaan, kepimpinan tempatan, dan pengusaha homestay diyakini mampu melonjakkan taraf sosioekonomi masyarakat desa menerusi perwujudan peluang pekerjaan baharu serta jualan produk kraf dan perkhidmatan tempatan.
Pada majlis yang sama, PERDA turut mengadakan penyerahan kenderaan pelancongan terdiri daripada tiga buah bot dan sebuah van kepada Koperasi Sinar Azam Pulau Pinang Berhad (KOPSA) di bawah peruntukan Program Desa Lestari KKDW bagi memperkukuh pengoperasian eko-pelancongan di Taman Negara Pulau Pinang.
GALERI GAMBAR


Soalan Lazim
Aduan & Maklumbalas
































