07 Ogos 2026 | Butterworth
Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) telah mengadakan Majlis Perasmian Program Mentor Mentee Usahawan (MMU) PERDA Tahun 2026 sebagai usaha memperkasa pembangunan usahawan luar bandar melalui latihan kemahiran, bimbingan perniagaan dan pemantauan secara berstruktur.
Majlis telah disempurnakan oleh Pengerusi PERDA, YBhg. Datuk Wira Ir. Dr. Shaik Hussein bin Mydin. Turut hadir ialah Pengurus Besar PERDA, YBhg. Dato' Haji Mohd Asri bin Baharum barisan Pengurusan Tertinggi PERDA.
Program ini bertujuan melahirkan lebih ramai usahawan baharu, khususnya dalam kalangan belia B40, melalui pendekatan mentor-mentee yang menggabungkan latihan kemahiran teknikal, kursus pembangunan perniagaan serta bantuan mesin dan peralatan bagi membolehkan peserta memulakan atau mengembangkan perniagaan secara mampan.
Bagi pelaksanaan tahun 2026, program ini memberi tumpuan kepada tiga bidang berpotensi tinggi iaitu Car Wash & Detailing, Manicure & Pedicure serta Servis Motosikal. Seramai 30 orang peserta akan dibimbing oleh tiga orang mentor berpengalaman, selain mengikuti sekurang-kurangnya 16 siri latihan kemahiran dan menerima bantuan mesin serta peralatan bernilai RM5,000 seorang.
Majlis turut diserikan dengan sesi hebahan mengenai aplikasi P-Digital, iaitu platform tempahan perkhidmatan dalam talian yang diperkenalkan oleh PERDA bagi membantu individu berkemahiran dan usahawan tempatan mempromosikan perkhidmatan serta menjana pendapatan melalui ekonomi digital.
Penganjuran program ini mencerminkan komitmen berterusan PERDA dalam membangunkan ekosistem keusahawanan yang lebih mampan, sekali gus melahirkan usahawan luar bandar yang berdaya saing, berkemahiran dan bersedia menghadapi cabaran ekonomi semasa.
GALERI GAMBAR


Soalan Lazim
Aduan & Maklumbalas












