28 Julai 2026 | Tasek Gelugor
Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) menerusi Bahagian Pembangunan Insan hari ini telah menganjurkan Program PERDA SMART CORE LITNUM Siri 1 bertempat di Dewan Rafflesia, Midtown PERDA, Kubang Menerong, Tasek Gelugor. Program ini dilaksanakan dengan kerjasama strategik Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) sebagai satu langkah intervensi akademik yang proaktif dalam memantapkan pencapaian pendidikan murid di peringkat sekolah rendah.
Pelaksanaan program khas ini memfokuskan kepada usaha memperkukuh penguasaan asas literasi dan numerasi dalam kalangan pelajar Tahun 4 yang berada pada Tahap Penguasaan 3 (TP3) berdasarkan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) dari sekolah-sekolah di bawah tajaan PERDA. Menerusi modul yang dirangka khusus, para pelajar didedahkan dengan teknik pembelajaran yang interaktif dan berkesan bagi meningkatkan keyakinan serta keupayaan mereka dalam menguasai kemahiran membaca, menulis, dan mengira.
PERDA sentiasa komited dalam menyokong agenda pembangunan modal insan menerusi pelbagai inisiatif pendidikan berimpak tinggi. Diharapkan agar program intervensi seperti ini dapat membantu merapatkan jurang pembelajaran, sekali gus melahirkan generasi pelajar luar bandar yang berdaya saing, berilmu, dan cemerlang dari segi akademik.
GALERI GAMBAR


Soalan Lazim
Aduan & Maklumbalas








