02 Julai 2026 | Butterworth
Mesyuarat Pemeriksaan Permohonan Belanjawan Mengurus Tahun 2027 Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bersama Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) Untuk Zon Utara serta Sesi Lawatan Ke Projek-Projek PERDA telah diadakan bermula dari 30 Jun 2026 sehingga 2 Julai 2026.
Mesyuarat dan sesi lawatan kerja ini telah disertai oleh Pegawai Pemeriksa Bajet (BRO) MOF, Puan Rahayu binti Mohamad, Setiausaha Bahagian Kewangan KKDW, Encik Kamarularifin bin Ab Gani, serta pegawai-pegawai daripada Pejabat Belanjawan Negara, MOF dan Bahagian Kewangan KKDW.
Tujuan utama mesyuarat dan lawatan ini diadakan adalah bagi membolehkan jabatan serta agensi di bawah KKDW membentangkan perancangan belanjawan mengurus masing-masing secara terperinci kepada Pegawai Pemeriksa Bajet (BRO) MOF bagi Zon Utara. Pembentangan ini amat penting untuk pertimbangan ke peringkat seterusnya sebelum dikemukakan bagi mendapatkan kelulusan rasmi di peringkat Parlimen Malaysia.
Selain sesi mesyuarat, jawatankuasa ini turut mengadakan sesi lawatan kerja ke beberapa tapak projek strategik PERDA termasuk program Agrotourism PERDA di Kampung Labuh Banting, Projek Pembinaan Kedai Permatang Buluh, Desamall, dan Taman Agroteknologi Pertanian PERDA. Sesi lawatan tersebut turut dihadiri oleh Pengurus Besar PERDA bersama kedua-dua Timbalan Pengurus Besar PERDA bagi memberikan taklimat fizikal serta penjelasan justifikasi projek secara langsung di lapangan.
Melalui komitmen bersepadu dalam pemeriksaan belanjawan dan lawatan tapak ini, PERDA berharap agar setiap perancangan pengurusan yang dirangka dapat dipertimbangkan sewajarnya demi memastikan kelangsungan projek-projek pembangunan sosioekonomi luar bandar yang berimpak tinggi di wilayah Pulau Pinang sentiasa berjalan dengan lancar dan berkesan.
GALERI GAMBAR


Soalan Lazim
Aduan & Maklumbalas
























