Lawatan Penandaarasan Sistem SAGA oleh Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG)

Star InactiveStar InactiveStar InactiveStar InactiveStar Inactive
 
28 April 2026    |     Butterworth

Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) hari ini menerima kunjungan lawatan penandaarasan daripada Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) bagi mempelajari pelaksanaan serta pematuhan sistem Standard Accounting for Government Agencies (SAGA) yang telah berjaya dicapai oleh agensi ini.

Delegasi seramai 26 orang pegawai MBPG tersebut telah diketuai oleh Yang Berhormat Datin Paduka Hajah Hazlina binti Jalil, Datuk Bandar MBPG. Kehadiran delegasi telah disambut mesra oleh Pengurus Besar PERDA, YBhg. Dato' Haji Mohd Asri bin Baharum, bersama barisan pengurusan tertinggi.

Dalam sesi alu-aluan, YBhg. Dato' Pengurus Besar menekankan bahawa pematuhan sistem SAGA merupakan tunjang utama kepada ketelusan pengurusan dana awam serta meminimumkan ralat melalui integrasi teknologi perakaunan digital yang mampan.

Antara pengisian utama adalah taklimat teknikal mengenai modul utama SAGA serta sesi interaktif bagi membincangkan cabaran dan penyelesaian yang dihadapi oleh PERDA sehingga berjaya memperoleh status pematuhan sistem tersebut.
Lawatan ini merupakan inisiatif strategik MBPG dalam memantapkan tadbir urus kewangan digital di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) selaras dengan status bandaraya yang dinamik.

Dalam pada itu, PERDA turut membawa delegasi MBPG ke Agrotourism Labuh Banting, Tasek Gelugor bagi menerokai keindahan alam semula jadi melalui aktiviti menyusuri sungai.

Delegasi juga berpeluang mengikuti Kembara Kampung Trail dengan melihat demonstrasi pembuatan makanan tradisional seperti dodol, tapai, dan penuaian madu kelulut serta menyertai aktiviti permainan tradisional bagi mengeratkan silaturahim antara kedua-dua pihak.

PERDA menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan atas pemilihan agensi ini sebagai destinasi rujukan dan berharap agar perkongsian kepakaran ini dapat memberi impak positif kepada sistem penyampaian perkhidmatan awam kedua-dua organisasi.

AKTIVITI 2026

Penafian : PERDA tidak akan bertanggungjawab atas sebarang kehilangan data atau kerugian yang berlaku disebabkan penggunaan laman web ini.

Hak Cipta Terpelihara © PERDA 2026 / Paparan terbaik menggunakan pelayar internet Mozilla Firefox, Chrome dan Internet Explorer 11 ke atas.