Program Fiesta Komuniti Sungai @ Pengkalan Machang 2026

Star InactiveStar InactiveStar InactiveStar InactiveStar Inactive
 
09 Mei 2026    |     Sungai Dua
 
Jeti Nelayan Pengkalan Machang, Sungai Dua, Seberang Perai Utara

Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) hari ini telah menganjurkan Program Fiesta Komuniti Sungai @ Pengkalan Machang 2026 bertempat di Jeti Nelayan Pengkalan Machang, Sungai Dua, Seberang Perai Utara.

Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh YBrs. Encik Mohd Iqbal bin Mohd Noor, Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Pulau Pinang, Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM).

Dalam ucapan perasmiannya, beliau menekankan kepentingan kerjasama strategik antara PERDA dan Koperasi Nelayan Sungai Pengkalan Machang Seberang Perai Utara Berhad dalam memperkukuh pembangunan ekonomi komuniti setempat, khususnya dalam sektor agropelancongan dan keusahawanan, demi manfaat bersama.

Beliau turut menyempurnakan gimik pelancaran Fiesta Komuniti Sungai @ Pengkalan Machang 2026 sebagai simbolik perasmian program.

Fiesta yang berlangsung sepanjang hari ini bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara agensi kerajaan dan komuniti setempat, di samping mempromosikan produk agropelancongan sedia ada secara lebih meluas dan berkesan. Program ini juga menjadi platform kepada usahawan bimbingan PERDA untuk memasarkan produk masing-masing menerusi reruai jualan yang disediakan.

Pelbagai aktiviti menarik telah diadakan bagi memeriahkan program, antaranya pertandingan mewarna, pertandingan menjala, teka berat udang galah, jualan Agro MADANI oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), serta jualan produk usahawan PERDA yang mendapat sambutan amat menggalakkan daripada penduduk setempat dan pengunjung.

Antara tarikan utama program ialah perkhidmatan Boat Cruise secara percuma yang bermula pada jam 2.00 petang. Aktiviti tersebut memberi peluang kepada pengunjung menikmati keindahan alam semula jadi serta kepelbagaian flora dan fauna di sepanjang Sungai Perai.

Majlis turut diserikan dengan sesi penyampaian hadiah kepada para pemenang pertandingan yang dianjurkan serta cabutan bertuah sebagai tanda penghargaan kepada komuniti yang hadir dan memberikan sokongan padu terhadap penganjuran program ini.

Penganjuran Fiesta Komuniti Sungai @ Pengkalan Machang 2026 ini mencerminkan komitmen berterusan PERDA dalam mendekati komuniti luar bandar serta memperkasakan sektor agropelancongan di negeri Pulau Pinang.

Usaha ini juga selaras dengan hasrat untuk menjadikan destinasi agropelancongan di Tasek Gelugor sebagai antara lokasi pelancongan komuniti yang menarik dan wajib dikunjungi di Pulau Pinang.

AKTIVITI 2026

Penafian : PERDA tidak akan bertanggungjawab atas sebarang kehilangan data atau kerugian yang berlaku disebabkan penggunaan laman web ini.

Hak Cipta Terpelihara © PERDA 2026 / Paparan terbaik menggunakan pelayar internet Mozilla Firefox, Chrome dan Internet Explorer 11 ke atas.