3 November 2026 | Nibong Tebal
Institut Kemahiran Tinggi PERDA (PERDA-TECH) terus memperkukuh peranannya sebagai pemangkin pembangunan bakat dan inovasi teknologi menerusi penganjuran Karnival Robotik dan Inovasi Kebangsaan (RYNOTECH 2026) yang kini melangkah ke peringkat kebangsaan, sekali gus memperluas platform persaingan sihat, perkongsian ilmu, serta penerokaan teknologi masa hadapan.
Penganjuran berprestij pada kali ini telah menerima penyertaan membanggakan sebanyak 56 pasukan dari Pulau Pinang, Kedah, dan Perak menerusi dua kategori pertandingan utama, iaitu Cabaran Dron PERDA yang melibatkan 23 pasukan serta Pencipta Kecerdasan Buatan STEM PERDA dengan penyertaan 33 pasukan, termasuk 20 pasukan terbaik yang berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir.
Selain medan pertandingan, karnival ini turut mengetengahkan pelbagai aktiviti menarik termasuk Pameran Inovasi, Eksplorasi Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), sudut informasi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), serta gerai jualan. Pengisian menyeluruh ini membuka ruang seluas-luasnya kepada generasi muda dan komuniti setempat untuk mendekati perkembangan teknologi terkini, memupuk daya kreativiti, dan meneroka peluang pendidikan kemahiran tinggi.
Kejayaan penganjuran ini turut diperkukuh menerusi jaringan kolaborasi strategik bersama Kementerian Pendidikan Malaysia, Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, Universiti Sains Malaysia (USM), Meraque, dan Politeknik Negeri Padang, Indonesia. Jalinan pintar ini mencerminkan usaha berterusan dalam memperluas sinergi antara institusi pendidikan, pemain industri, serta rakan institusi antarabangsa.
Selaras dengan aspirasi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA), RYNOTECH 2026 menjadi bukti iltizam berterusan PERDA menerusi PERDA-TECH dalam melahirkan modal insan berkemahiran tinggi, membudayakan inovasi, serta membentuk generasi pelapis yang kreatif dan berdaya saing demi menyokong kemajuan sosioekonomi wilayah dan negara.
PERDA – Merealisasikan Harapan Rakyat.
GALERI GAMBAR


Soalan Lazim
Aduan & Maklumbalas
































