5 November 2026 | Butterworth
Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) telah mengadakan Majlis Apresiasi Luar Bandar Cerdik STEM PERDA Tahun 2025 di Crowne Plaza Penang Straits City. Majlis telah dirasmikan oleh Pengurus Besar PERDA, YBhg. Dato’ Haji Mohd Asri bin Baharom @ Harun.
Majlis ini memberikan pengiktirafan kepada sekolah, guru penyelaras dan rakan strategik atas sumbangan serta komitmen dalam menjayakan Program Luar Bandar Cerdik STEM PERDA sepanjang tahun 2025.
Penghargaan ini turut mencerminkan peranan penting warga pendidikan dalam menyokong kecemerlangan akademik, aplikasi ilmu STEM dan pengembangan potensi pelajar luar bandar.
Pemilihan sekolah penerima anugerah mengambil kira pencapaian akademik, penglibatan aktif dalam program anjuran PERDA serta tahap responsif pihak sekolah terhadap urusan penyelarasan dan pelaksanaan program. Kesungguhan memberikan kerjasama, maklum balas dan tindakan susulan turut menjadi pertimbangan dalam mengiktiraf komitmen sekolah terhadap usaha pembangunan pendidikan bersama PERDA.
Bagi kategori sekolah rendah, SK Permatang Tok Jaya menerima Anugerah PERDA Prestij dengan hadiah wang tunai RM500, diikuti SK Kongsi bagi Anugerah PERDA Progresif yang membawa pulang RM300, manakala SK Sungai Bakau menerima Anugerah PERDA Inspirasi dengan hadiah wang tunai RM200. Anugerah Penyelaras Terbaik pula diberikan kepada Encik Mohd Hafiz bin Sulaiman dari SK Seri Bayu, yang menerima hadiah wang tunai RM150.
Bagi kategori sekolah menengah, Anugerah PERDA Prestij diberikan kepada SMK Permatang Pasir dengan hadiah wang tunai RM500, manakala SMK Dato’ Hj Ahmad Badawi menerima Anugerah PERDA Progresif berserta RM300 dan SMK Simpang Empat menerima Anugerah PERDA Inspirasi berserta RM200. Encik Muhammad Yusri bin Yaakob dari SMK Dato Haji Ahmad Said pula menerima Anugerah Penyelaras Terbaik dengan hadiah wang tunai RM150.
Di sebalik setiap program yang dilaksanakan, dedikasi guru penyelaras dan sokongan pihak sekolah menjadi penggerak kepada penyertaan serta perkembangan pelajar. Pengiktirafan ini diharap dapat menyuntik semangat warga sekolah untuk terus memperkukuh kerjasama dan memanfaatkan peluang pendidikan yang disediakan demi kemajuan anak-anak luar bandar.
PERDA merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga pendidikan dan rakan strategik atas komitmen yang diberikan. Jalinan kerjasama ini akan terus diperkukuh bagi memastikan kesinambungan program pendidikan yang lebih berfokus dan berorientasikan keberhasilan, selaras dengan usaha memperluas akses pendidikan berkualiti serta membangunkan potensi generasi muda luar bandar.
Tahniah kepada semua penerima anugerah dan terima kasih kepada seluruh pihak yang bersama-sama menjayakan usaha ini.
GALERI GAMBAR


Soalan Lazim
Aduan & Maklumbalas
























