PERDA-TECH Anjur Youth Fashionista Runway (YFR '26) Cungkil Bakat Pereka Fesyen Muda Peringkat IPT

Star InactiveStar InactiveStar InactiveStar InactiveStar Inactive
 
14 November 2026    |    Butterworth

Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) menerusi Institut Kemahiran Tinggi PERDA (PERDA-TECH) terus komited memperkasakan bakat Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam bidang seni reka fesyen menerusi penganjuran Pertandingan Youth Fashionista Runway (YFR '26).

Program berprestij di bawah naungan PERDA ini dianjurkan oleh Kumpulan Treize Production yang terdiri daripada para pelajar Semester 3 program Diploma Teknologi Fesyen Kreatif, PERDA-TECH, Nibong Tebal, Pulau Pinang. Majlis perasmian program ini telah disempurnakan oleh Pengurus Besar PERDA, YBhg. Dato' Haji Mohd Asri bin Baharum @ Harun.

Penganjuran pada kali ini berjaya menghimpunkan penyertaan membanggakan seramai 50 orang peserta daripada 14 buah institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta. Selain sesi pertandingan utama, para pelajar PERDA-TECH selaku tuan rumah dan penganjur turut mempersembahkan pertunjukan fesyen khas yang menampilkan sebanyak 18 koleksi rekaan eksklusif.

Mengangkat tema bebas "The Art Of Fashion Without Limits", pertandingan ini memberi ruang seluas-luasnya kepada para peserta untuk menghasilkan rekaan pakaian yang mempunyai identiti serta keunikan tersendiri tanpa terikat kepada sesuatu konsep atau gaya fesyen yang khusus.

Inisiatif ini bermatlamat memberi pendedahan praktikal dalam penghasilan rekaan pakaian, meningkatkan daya inovasi pereka muda, menggalakkan penerusan legasi seni fesyen, serta menjalinkan hubungan strategik antara pelajar PERDA-TECH dengan penuntut institusi pengajian lain.

Bagi mengiktiraf hasil kreativiti para peserta serta menyuntik semangat persaingan sihat susulan sambutan menggalakkan yang diterima, pihak penganjur turut menawarkan pelbagai kategori hadiah kemenangan.

Hadiah tersebut merangkumi tempat pertama berjumlah RM700, tempat kedua RM500, tempat ketiga RM300, tempat keempat RM200, dan tempat kelima RM150, di samping dua Anugerah Pereka Harapan bernilai RM100 setiap satu serta lapan hadiah sagu hati bernilai RM100 setiap satu.

Penganjuran YFR '26 ini mencerminkan kesungguhan berterusan PERDA-TECH dalam melahirkan modal insan berkemahiran tinggi serta berdaya saing yang mampu menyumbang kepada perkembangan industri kreatif dan fesyen tanah air.



GALERI GAMBAR

AKTIVITI 2026

Penafian : PERDA tidak akan bertanggungjawab atas sebarang kehilangan data atau kerugian yang berlaku disebabkan penggunaan laman web ini.

Hak Cipta Terpelihara © PERDA 2026 / Paparan terbaik menggunakan pelayar internet Mozilla Firefox, Chrome dan Internet Explorer 11 ke atas.