26 November 2026 | Nibong Tebal
Institut Kemahiran Tinggi PERDA (PERDA-TECH), sebuah institusi pendidikan kemahiran di bawah seliaan Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), terus melakar kecemerlangan apabila berjaya meraih pengiktirafan berprestij bertaraf 5 Bintang menerusi penilaian verifikasi Malaysia TVET Rating Tahun 2026 bagi Program Diploma Teknologi Automotif.
Perkara tersebut diumumkan oleh Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, YB Datuk Hajah Rubiah binti Haji Wang bersempena dengan Majlis Konvokesyen PERDA-TECH Kali Ke-15 Tahun 2026 yang menyaksikan seramai 369 orang graduan dianugerahkan sijil dan diploma masing-masing.
Inisiatif dan pencapaian utama PERDA-TECH bagi tahun 2026:
1. KEBOLEHPASARAN GRADUAN TINGGI (87 PERATUS): Berdasarkan hasil kaji selidik ke atas graduan PERDA-TECH tahun 2025, sebanyak 87 peratus telah berjaya mendapat pekerjaan, 3 peratus bekerja di luar bidang, manakala 10 peratus lagi melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
2. PEMBANGUNAN FASILITI INDUSTRI BERIMPAK TINGGI: Sejajar dengan sasaran kerajaan untuk mencapai 70 peratus penyertaan lepasan SPM dalam bidang TVET menjelang akhir Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), PERDA-TECH kini dilengkapi dengan dua fasiliti latihan baharu berteraskan industri iaitu PERDA-TECH Underwater Welding Training Center (kerjasama dengan Divestuff Sdn. Bhd.) dan Bengkel Latihan Wrapping PERDA-TECH (kerjasama dengan Vinyl Frog Malaysia).
3. PERLUASAN JARINGAN STRATEGIK INDUSTRI: Selain kolaborasi sedia ada bersama Perodua Sales Sdn. Bhd. menerusi Bengkel DOJO, PERDA-TECH turut memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama pemain industri utama iaitu Advansia Sdn. Bhd. dan GOTT Sdn. Bhd. bagi memastikan silibus latihan kekal relevan dengan keperluan pasaran kerja semasa.
Dalam majlis yang sama, PERDA VENTURES INCORPORATED SDN.BHD turut menyerahkan sumbangan untuk pelaksanaan Program Inovasi PERDA- TECH yang berjumlah RM 100,000.00. (TANGGUNG JAWAB SOSIAL KORPORAT).
Pihak PERDA dan KKDW sentiasa komited dalam meningkatkan akses pendidikan TVET berkualiti tinggi kepada belia luar bandar, bukan sahaja untuk melahirkan tenaga kerja mahir tetapi juga membentuk teknousahawan TVET yang mampu memacu ekonomi desa.
GALERI GAMBAR


Soalan Lazim
Aduan & Maklumbalas








